AIR DICINCANG TAKKAN PUTUS - NUKILAN SEORANG TEMAN SEPERJUANGAN -HASNUL JAMAL.


                       AIR DICINCANG TAKKAN PUTUS.

                                      by Hasnul Jamal.

 


                                      Mohd Noor Mahmud, saya dan Taufik, gambar terbaru, 2012.

                                                  Mohd Noor, saya dan Taufik, 2009.



                       Mohd Noor, saya, Taufik dan Fauzin, di markas Centerstage Performing Art, 
                                                           Bangsar, tahun 1989.

 Beberapa minggu sudah, saya ke Kelantan untuk menilai program yang ditawarkan oleh  Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan. Selain 'berkebun akademik', tak dilupakan ziarah kebun silaturrahim. 
Saya singgah ke kedai fotostat Taufik Abdullah, rakan lama yang sama-sama menuntut di UiTM dari 1984 hingga 1988. Taufik dan saya ada ikatan kuantum yang tinggi, walaupun dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa. Macam air, cincang tak putus. Ikatan saya dan Taufik lebih molek ditamsilkan dengan udara, langsung tak boleh cincang.

                                             Sewaktu berkembara ke Melaka, sekitar 1987

                        Singgah di Lapangan Terbang Singapura, sambil main piano, 1987.


Semasa di UiTM, Taufik lebih dikenali (dan sesekali diperli) oleh rakan-rakan sebagai seorang 'pemikir'. Gitupun, pemikiran Taufik bukanlah setakat teori je. Dia pernah menang anugerah kecil untuk Bakat Muda Sezaman, kalau tak silap tahun 1988.

Karyanya siri "Manukan" menggabungkan kedua-dua teknik dan pengkaryaan seni arca dan seni cetaskan. Ada sebuah karya dalam siri itu yang dijudulkan, "Sculpture Print Am I?". Karya ini pada saya sangat menarik, kerana ia menandakan pendekatan bersifat convergence atau penyatuan dalam berkarya.  Ia juga meninggalkan impak yang besar dalam diri saya juga.

Taufik ketika itu sudah berani mempersoal pandangan terpisah-pisah tentang amalan pengkaryaan seni halus yang didogmakan di institusi-institusi seni (catan, cetakan, arca, lukisan dalam silo masing-masing). Taufik membawa paradigma 'penyatuan' atau convergence' yang lebih lestari dan kreatif.

Kini convergence dah jadi cogan lazim dalam amalan pengkaryaan dan juga akademik.  Proses pengkaryaan seni halus dalam dunia pengkaryaan sebenar tidak lagi melihat amalan pengkaryaan dalam silo atau kepompong bidang-bidang kecil semata-mata, tetapi dalam satu kesatuan idea yang dizahirkan menerusi gabungan pelbagai metodologi studio, tak kiralah seni cetak ke, catan ke, arca ke atau lukisan. Cincang macam mana pun (memberi label atau jenama bidang seni studio), ia tetap sebuah karya Taufik Abdullah.

Bunyi judulnya seperti sebuah karya yang terpaksa bertanya, dia arca atau cetakan? Judul ini timbul dari episod kisah benar, apabila Taufik menyerahkan karya yang sama sebagai hasil tugasan untuk kedua-dua kursus seni cetak dan seni arca. Ia menimbulkan polemik dan kontroversi kecil dikalangan beberapa pensyarah, yang memaksa Taufik untuk membuat keputusan sama ada karya (atau tugasan) nya itu akan ditabal sebagai sebuah arca atau cetakan. Episod ini meninggalkan kesan mendalam pada diri Taufik hingga terhasilnya karya begitu. Malah, karya ini juga diulas oleh Piyadasa.

Mungkin Taufik tidak mengetahuinya, namun kesan dari karyanya itu saya bawa hingga saya bertugas di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Sebagai salah seorang dari pensyarah perintis, selain dari Fauzan Omar, Zulkarnain Zainal Abidin, Wan Jamarul Imran dan Rashidah Salam,  kami mengolah pendekatan pembelajaran studio yang bersifat convergence atau penyatuan apabila merangka kurikulum baru untuk program Seni Paduan (kami tidak gunakan istilah Seni Halus)(1994-2000).

Malah, adiguru kami Fauzan Omar sendiri, mengolah kursus studio bernama 'Expanded Media' (Media Lanjutan) yang mengambil pendekatan 'eksperimental' terhadap penerokaan bahan berkarya. Walaupun Taufik yang amat merendah diri itu kini memencil diri di satu ceruk kecil di Kota Bharu, Kelantan, kesan tinggalannya dalam diri beberapa watak (termasuk saya), adalah besar.  

Taufik juga merupakan sparring (rakan bertinju fikiran) saya. Pandangannya tajam, mungkin sebab dia rajin membaca. Tapi Taufik ni sering melontarkan fikirannya menerusi kata-kata yang puitis. Semuanya hadir dari getaran Taufik yang pada saya, adalah romantis. Sebab tulah, selain dari sparring dalam berwacana, Taufik juga rakan penulis lirik untuk lagu-lagu yang saya cipta semasa di UiTM. Selain dari rakan-rakan di Jabatan Seni Halus ketika itu, dia antara yang paling suka layan minat saya mencipta lagu-lagu puisi. Ada antaranya saya nyanyikan dalam beberapa acara semasa di UiTM. Namun, mencipta lagu tidak saya jadikan karier kerana saya alah dengan dunia glamor bintang-bintang.

Setelah bergraduat (1988), saya dan Taufik mengusahakan perniagaan rekabentuk yang kami namakan, NNT (Nul and Taufik). Bunyinya macam bom, mungkin sebab memang kami berangan meninggalkan kesan persis bom, yakni bom minda, bom idea. Kami sempat buat beberapa projek kecil, termasuklah rekabentuk set untuk teater. Satu daripadanya untuk teater "Cindai". Itupun Pak Mail (Allahyarham Ismail Zain) yang bukakan jalan, kerana set untuk "Cindai" dicipta oleh Pak Mail sendiri dengan komputer Macintoshnya (waktu tu, itulah yang paling canggih). Penulis dan pengarah teater tersebut, Nordin Hassan, teman baik Pak Mail.

Saya dan Taufik terpaksa memukat seorang rakan sekuliah di Jabatan Seni Halus di UiTM, Fauzin Mustaffa menolong kami. Fauzin ni memang terkenal dengan bakat 'mengandam'nya, yang amat diperlukan dalam kerja-kerja set kami. Jadilah kami three musketeers atau laksmana Do Re Mi.

Kami menyewa sebuah rumah di Bukit Damansara, bersama-sama dengan kakak saya, Salmah (Kak Sal) dan suaminya, Abang Hanafi. Untuk studio, kami disedekahkan ruang kecil di tepi rumah Kak Yong (kakak saya juga) dan Abang Taha, yang hanya di belakang rumah sewa kami.

Waktu tu daif, banyak episod yang boleh diadaptasikan menjadi babak-babak dalam filem hindustan atau drama air mata. Ada ketika saya dan Fauzin minum air oren dicampur dengan nasi (ala-ala air bali gitu) untuk lapik perut. Nak pinjam duit dari orang lain atau mak-ayah di kampung, tak mau, nanti tercalar ego jantan pulak.

Dari "Cindai", kami terlibat dengan banyak projek teater dibawah bimbingan Najib Nor dan Normah Nordin, juga Fauziah Nawi (pelakon), Iryanda Mulya (pemuzik) dan Dida (penari). Kami berkerja di bawah payung Centerstage Performing Arts. Sesekali, Pak Mail berkunjung untuk mengusik kami. Kami kutip seberapa banyak ilmu seni persembahan, termasuk ilmu puisi dari Ladin Nuawi yang rajin melepak di markas Centerstage Performing Arts di sebuah banglo di tepi bukit di Bangsar.

Episod di Centerstage sangat banyak mengajar dan mendewasakan saya (juga Taufik dan Fauzin). Jika ada projek, kami terpaksa tidur berbantalkan lengan dan bertilamkan lantai kosong. Sewaktu bulan puasa, kami jadi pelanggan tetap dan tegar majlis buka puasa di Masjid Bangsar. Bangsar ketika itu belum jadi LA, London atau New York lagi, masih bandar Malaysia.


Dari situ (Centerstage) juga kami membentuk benih "4 Persepsi" sebuah pameran yang diiringi oleh pelbagai projek pengisian yang lain. Itupun setelah jenuh menjalani regimen latihan yang perit dari Normah Nordin dan Najib Nor. Kami jemput pula seorang lagi rakan di UiTM, Mohd Noor Mahmud, yang ketika itu sibuk menjadi buruh bangla untuk sifu Fauzan Omar di Shah Alam.

Cerita "4 Persepsi" perlu buat dalam blog entry yang lain.

Selepas "4 Persepsi" (1989) kami berpecah ikut haluan masing-masing. Fauzin ke TV3, berbekalkan hasil kerja buat set. Taufik ke Jepun hingga fasih berbahasa Jepun. Mohd Noor masih taat dengan Fauzan Omar. Saya terbang melanjutkan pelajaran ke USA.

Namun semasa di USA, Taufik dihantar bekerja oleh syarikat Jepunnya ke Mexico, dekat sempadan USA. Lama juga dia di Mexico hingga fasih pula berbahasa Sepanyol. Mungkin terlebih fasih dan bijak bermain kata-kata puitis romantis dalam bahasa Sepanyol, dia terpikat (atau berjaya memikat) hati seorang dara Mexico untuk jadi buah hati dan seterusnya isterinya.














 


Sebelum itu, dua kali Taufik mengagahkan diri untuk datang berjumpa saya di USA. Sekali di Illinois semasa saya sedang berusaha mendapat segulung ijazah sarjana muda Seni Halus, dan sekali di Troy, New York semasa saya sedang mengusahakan sarjana. Kesanggupan Taufik bertandang untuk berjumpa saya dan isteri, Rozana, kami kenang sampai akhir hayat kami.


Setelah lama di Mexico, Taufik berhijrah kembali untuk menyambung tugasnya dengan syarikat yang sama di Kelantan pula. Isterinya dibawa berhijrah sekali. Mereka kini dikurniakan dua orang cahaya-mata.

Lama juga Taufik berkerja dengan syarikat Jepun ini, hingga dah jadi pereka kanan. Ilmunya banyak, terutama sekali yang berkait dengan penghasilan arca seramik. Setelah jemu dan tepu menjadi kuli 'orang asing', Taufik membuat penghijrahan diri dengan membuka perniagaannya sendiri. Kini dia tenang menghasilkan kedai fotostatnya yang kecil (tapi maju) di Kota Bharu, Kelantan, sambil terus menjadi pemikir. Getarannya kini lebih spiritual, seiring dengan perubahan usia. Namun, dari segi jasad, Taufik tetap macam tu juga. Sesekali dia mengajar secara sambilan di UiTM atau di UMK (Universiti Malaysia Kelantan).
Saya rasa tak terbalas usaha Taufik menggagahi perjalan jauh untuk bertemu saya dan isteri semasa dia di Mexico dan kami di USA. Kini, saya di Pulau Pinang, nak gagahkan diri ke Kelantan berjumpa dengan dia pun saya malas. Jika berjumpa pun, untuk masa yang pendek. Rasa bersalah pun ada. Tapi, saya (dan Taufik) terpaksa menerima hakikat keadaan semasa yang kini penuh dengan tanggungjawab yang perlu dipikul, juga KPI (Key Performance Indicator) yang terpaksa dikejar.

Gitupun, segala kesibukan mengejar hABUan mimpi benda, tidak akan memudar atau memutuskan ikatan persaudaraan. Cincanglah dengan segala amanah dan tanggungjawab dunia, mahupun sebarang ideologi, atau corak fikiran, atau cara hidup, atau harta dunia........kasih sayang yang dibina sesama manusia (yang sebenarnya bersaudara secara batin) tetap ADA, kekal.

Begitulah juga dengan seorang sahabat saya yang bernama Taufik Abdullah.


Comments

Popular Posts